KUALA SELANGOR: Seorang wanita berusia 56 tahun dipercayai meninggal dunia akibat dipenggal anak kandung sendiri. Kejadian berlaku di Kampung Baru Pasir Penampang, petang semalam dengan siasatan awal mendapati suspek berusia 28 tahun membunuh ibunya di ruang tamu menggunakan parang.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata kejadian disedari oleh seorang anak mangsa yang gagal menghubunginya, sebelum pergi ke rumah.
“Sebaik tiba, anak mangsa melihat keadaan rumah sudah berlumuran dengan darah manakala suspek melarikan diri ke belukar di belakang rumah mereka.
“Polis dengan bantuan penduduk berjaya menahan suspek dan siasatan lanjut oleh pasukan forensik sudah dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramli berkata, hasil ujian air kencing mendapati bahawa suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Selangor dan suspek direman selama tujuh hari sehingga 22 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – Berita Harian