KUALA LUMPUR: Orang ramai digalakkan untuk mendapatkan dos penggalak vaksin COVID-19 sebagai persiapan sebelum Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berikut merupakan langkah yang boleh diambil sebagai perlindungan kepada diri dan keluarga bagi umat Islam untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
“Sila dapatkan dos pengggalak vaksin COVID-19 untuk perlindungan diri dan keluarga anda. Ia sebagai satu usaha bersama kesiapsiagaan menyambut Hari Raya nanti, Insya-Allah,” katanya menerusi pernyataan di Twitter, hari ini.
Sebelumnya, Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-10 Kebangsaan (PICK) sejak 24 Februari tahun lalu, menyaksikan Malaysia memberi kelulusan bersyarat bagi penggunaan ketika bencana, membabitkan tiga jenis vaksin, iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.
Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) ke-359 pada 15 Jun tahun lalu telah memperuntukkan kelulusan sama kepada jenis vaksin CanSino dan Johnson & Johnson (J&J), dengan masing-masing satu dos suntikan lengkap.
Vaksin J&J yang telah diluluskan pada 15 Jun lalu diperolehi Kerajaan Malaysia melalui pelan peruntukan COVID-19 global, COVAX serta berdasarkan kelulusan penggunaan kecemasan oleh Petubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurut laporan, vaksin J&J atau Janssen yang diluluskan tempoh hari adalah menerusi perolehan daripada pengilang di Belgium.
Susulan itu, Noor Hisham turut memaklumkan setiap vaksin mempunyai kesan sampingan seperti otot, demam atau sakit kepala yang normal ketika menerima vaksin.
“Sedikit ketidakselesaan untuk hasil yang lebih baik, Insya-Allah,” katanya.
Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 10 kes kematian akibat COVID-19 sehingga 7.48 pagi tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kes COVID-19 meningkat kepada 31,781 orang. – Hmetro