spot_img
HomeSemasaHubungi pusat khidmat wakil rakyat - Rina Harun

Hubungi pusat khidmat wakil rakyat – Rina Harun

PUTRAJAYA: Rakyat yang terputus bekalan makanan akibat pandemik COVID-19, boleh berhubung dengan pusat khidmat wakil rakyat di kawasan masing-masing untuk memohon Bantuan Bakul Makanan bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata wakil rakyat perlu prihatin dengan keadaan golongan yang terjejas di kawasan mereka.

“Makanan adalah keperluan asas bagi setiap individu dan keluarga. Justeru, mereka yang terputus bekalan boleh berjumpa wakil rakyat masing-masing,” katanya pada sidang media khas mengenai PEMULIH di kementeriannya, di sini, hari ini.

Setakat ini, Rina berkata, kementeriannya sudah menyalurkan 1.5 juta bantuan bakul makanan kepada kira-kira enam juta isi rumah di seluruh negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan kempen mengibar bendera putih bagi memberi sokongan kepada individu yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Katanya, kempen itu dapat menanam sikap prihatin masyarakat terhadap individu lain yang berdepan kesusahan dan memerlukan bantuan.

Sementara itu, Rina memaklumkan, pihaknya sudah membentangkan cadangan hala tuju baharu bantuan sosial, kepada kerajaan.

Ketika ini, beliau berkata, banyak agensi menyalurkan bantuan, termasuk 192 jenis bantuan disalurkan kementeriannya kepada golongan sasar.

“Cadangan hala tuju baharu bantuan ini meliputi penubuhan sebuah agensi khas bagi menyelaraskan bantuan supaya dapat disalurkan kepada golongan sasar benar-benar layak dan tiada yang tercicir,” katanya. – BERITA HARIAN

 

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular