KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor semalam telah menyempurnakan majlis sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2021 Peringkat Negeri Sabah di Dewan Bankuansi, Menara Kinabalu Sabah.
Jawatankuasa yang mengadakan sambutan tersebut adalah kerjasama kepimpinan negeri Sabah, Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negeri Sabah.
Tema bagi sambutan HARA yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kali ini adalah Your Right, Your Role: Say No to Corruption” .
Hajiji berkata realiti berlakunya amalan rasuah harus diubah kerana perkara tersebut mampu menyebabkan kepincangan terhadap ekonomi negara.
“Selain itu, dapat menghalang rakyat daripada menikmati taraf hidup yang lebih baik akibat daripada kesan rasuah ini,” tambahnya.
Justeru itu, Hajiji mengajak semua rakyat Sabah membulat tekad dalam memerangi amalan rasuah, melafaz ikrar menegakkan keadilan dan meningkatkan integriti diri demi kemaslahatan bersama.
Hajiji juga mengajak rakyat untuk bersama menggembleng tenaga membebaskan negara daripada amalan tidak bermaruah dan merosakkan bangsa ini.