Kota Kinabalu : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Darau Laut berupa bantuan kewangan dan bakul makanan.
Bantuan disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, merangkap Exco Pendidikan dan Agama Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
“Sumbangan itu merupakan hasil makluman segera dari Datuk Mohd Razali Razi yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau, sekaligus membolehkan bantuan disampaikan dengan segera”
“Terima kasih saya ucapkan Datuk Razali kerana segera memaklumkan kepada MUIS dan PBNS. Ini yang kita mahu, jika berlaku bencana seperti kebakaran atau banjir, maklumkan terus kepada kami”
“Insya-Allah, kami akan bantu secepat mungkin,” katanya.
MUIS menyumbangkan sebanyak RM1,000, manakala PBNS memberikan RM300 kepada setiap keluarga mangsa sebagai bantuan awal meringankan beban.
Tambah Arifin, bantuan seperti ini bukan hanya tertumpu kepada kes kebakaran, tetapi turut merangkumi mangsa banjir di seluruh Sabah.
“Kita mempunyai wakil MUIS, Jabatan Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan PBNS di setiap daerah. Sesiapa yang terkesan, boleh terus maklumkan kepada mereka sama ada di peringkat daerah atau di ibu pejabat,” katanya.
Beliau menggesa masyarakat agar segera memaklumkan sebarang kejadian bencana agar bantuan dapat disalurkan segera bagi memastikan mangsa tidak terbiar tanpa perhatian.
Sebanyak 10 buah keluarga melibatkan dua buah rumah yang terjejas akibat kebakaran. Majlis yang turut dihadiri Pengerusi Smart Sabah Datuk Mohd Razali Razi yang diadakan di Surau Nur Hidayah.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komitmen MUIS dalam membantu pendidikan anak-anak asnaf, dengan anggaran RM45 juta diperuntukkan tahun ini daripada kutipan zakat dan fitrah, termasuk RM25 juta khusus untuk dermasiswa pendidikan.
“Fokus kita bukan hanya bantuan bencana, tetapi juga pendidikan. Kita mahu generasi Sabah terus maju walaupun diuji dengan dugaan,” katanya. – Sabah Media