spot_img
HomeEkonomiFilem dan drama bersiri: Bagaimana keadaannya?

Filem dan drama bersiri: Bagaimana keadaannya?

Malaysia telah berjaya menembusi Anugerah Akademi atau Oscar Awards, majlis anugerah yang amat popular untuk mengiktiraf karya seni filem seantara dunia. Merit untuk menentukan filem yang berkualiti dan negara kita telah berjaya menembusinya melalui dua buah filem, ‘Roh’ arahan Emir Ezwan yang ditayangkan pada tahun 2019 dan filem arahan Muzzamer Rahman yang bertajuk ‘Prebet Sapu’.

Meskipun dua filem ini berjaya menembusi pencalonan tahap antarabangsa, industri filem serta drama bersiri di Malaysia masih lagi seakan-akan bergerak dengan perlahan.

Dr Zairul Anwar Md. Dawam, pensyarah Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTIF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata salah satu faktor yang membawa kepada penghasilan filem dan drama tempatan yang semakin perlahan disebabkan pandemik COVID-19 itu sendiri.

“Penguatkuasaan serta merta kerajaan melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lepas menjadi faktor yang paling ketara dalam penghasilan filem atau drama bersiri tempatan yang semakin menurun dan senyap sedikit”

“Walau bagaimanapun, tekanan dari pandemik membolehkan wujudnya penerimaan baharu dari penonton sendiri. Jika dilihat dari segi penerimaan audien, ada penerimaan baharu melalui filem Mael Totey yang mendapat RM6.4 juta dalam pasaran;” katanya.

Beliau tidak merasakan sikap skeptik dari penonton yang menyebabkan penghasilan filem dan drama bersiri tempatan makin berkurang, apabila mereka memberi respon yang baik terhadap filem Munafik 2 arahan Syamsul Yusof dibawah Skop Productions hingga mendapat kutipan sebanyak RM48 juta.

“Kemunculan filem berkualiti terbitan Astro Shaw seperti Polis Evo pada tahun 2015 serta Munafik arahan Syamsul Yusof dibawah Skop Productions turut mendapat reaksi yang bagus dari penonton, mendapat untung sebanyak RM17.8 juta dan RM19.04 juta semasa waktu tayangan,” tambahnya.

Foto – Gempak.com

Faktor seterusnya, perubahan yang berlaku dalam industri itu sendiri. Zairul berkata bahawa masyarakat pada masa ini semakin banyak pilihan dalam memilih media hiburan yang mereka mahukan.

Situasi itu juga diambil peluang oleh penggiat industri tempatan untuk meletakkan hasil karya mereka dalam Over-The-Top Media Service (OTT) seperti Netflix, Disney+ Hotstar, Viu, dan sebagainya.

Situasi ini dapat dilihat melalui penerbitan drama bersiri dari KRU Studios yang bertajuk ‘Ganjil’ sebagai siri eksklusif bagi laman penstriman Viu. Tambahan pula, disebabkan pandemik tidak ramai yang berani untuk menonton dalam pawagam, memberi impak kepada penerbitan filem lain”

“Datuk Yusof Haslam sendiri tidak pasti akan situasi bagi dua filem di bawah beliau, iaitu Abang Long Fadil 3 dan Polis EVO 3 kerana tidak mengetahui waktu untuk ditayangkan”

“Sekarang industri dalam peringkat pemulihan, dan sentiasa turun naik. Jika ceritanya bagus, atau pengarah filem tersebut bagus, filem itu akan mendapat sambutan. Oleh sebab itu, kita tak patut melihat situasi yang ada secara keseluruhan,”katanya.

Peranan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) perlu memainkan peranan yang besar. Badan tersebut boleh berfungsi dalam membantu pengarah dalam mempromosikan hasil karya mereka.

Kerajaan sebelum ini telah memperkenalkan bantuan kepada penggiat seni tanah air sebanyak RM100 juta bagi sebahagian dalam pelan pemulihan yang telah diumumkan dalam Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada 28 Jun yang lalu.

Dr Zairul menekankan promosi merupakan benda yang utama dalam penghasilan filem dan drama bersiri tempatan. Promosi membolehkan penonton kekal peka dengan karya yang dihasilkan, sekali gus menarik perhatian mereka.

Pengarah dan penulis skrip juga perlu menghasilkan karya yang berkualiti dan boleh menarik perhatian orang ramai untuk menontonnya.

“Pengarah perlu membuat kajian mengenai media dari luar negara seperti Korea, mencari faktor yang membolehkan perhatian penonton tertarik seperti cara mereka menghasilkan drama cinta,” ujar beliau.

Contohnya, Astro Shaw telah menerbitkan siri bertajuk ‘Projek Anchor SPM’ arahan Anwari Ashraf yang memfokuskan kepada sekumpulan pelajar yang cuba meniru dalam peperiksaan. Tetapi, drama bersiri tersebut mendapat reaksi yang agak skeptik dari netizen disebabkan persamaannya dengan filem ‘Bad Genius’  yang diarahkan oleh Nattawut Poonpiriya dan ditayangkan pada tahun 2017.

Michael Ang juga mengarahkan tiga buah drama bersiri yang ditayangkan dalam Astro Ria bagi slot “MegaDrama” yang menampilkan nafas baharu terhadap drama bersiri yang biasanya menampilkan genre cinta secara sepenuhnya.

Drama bersiri ‘The Hotel’ lakonan Mira Filzah dan MK K-Clique merupakan drama yang menampilkan genre thriller dan terus menampilkan sekuel bagi siri tersebut selepas selesai ditayangkan melalui siri bertajuk ‘Jiwa Yang Kau Puja’ lakonan Uqasha Senrose dan Sean Lee.

Oleh sebab itu, sokongan dari masyarakat terhadap filem dan drama bersiri tempatan yang cuba menghasilkan konsep yang berbeza amat diperlukan, membolehkan pengarah lain menggalakkan diri mereka untuk menghasilkan idea-idea baharu, sekali gus meningkatkan kualiti industri filem dan drama bersiri negara.

Penulis – Muhammad Iqram Akmal Rahama.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular