SELAYANG: Seorang ibu kepada budak lelaki berusia lima tahun yang pernah dilaporkan maut selepas terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium Batu Caves pada 17 November lalu, didakwa di Mahkamah Seksyen Selayang, hari ini, atas tuduhan mengabaikan mangsa.
Tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon agar kes dibicarakan sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya.
Melihat pada kertas pertuduhan, wanita itu didakwa kerana mengabaikan anaknya dan menyebabkan kecederaan fizikal pada tubuh mangsa di Pangsapuri Magna Villa, Jalan Lebuhraya Selayang Kepong, antara jam 9.45 hingga 10.48 pagi, pada 17 November lalu.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar, menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dengan syarat tambahan yang sesuai mengikut perundangan mahkamah.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak mempunyai wakil peguam bela, dalam rayuannya memberitahu mahkamah ketidakmampuannya untuk membayar wang jaminan dengan statusnya yang hanya seorang suri rumah dan tidak bekerja.
Tertuduh turut menyatakan dia masih mempunyai seorang lagi anak kecil berusia empat tahun dan suaminya hanya bekerja sebagai penghantar barang dengan gaji kurang daripada RM2,000.
“Keadaan kesihatan saya masih tidak stabil selepas kehilangan arwah anak saya,” katanya.
Mahkamah kemudian memutuskan agar tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan dalam kes itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Menurut laporan media sebelum ini, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, ibu mangsa dikatakan tidak berada di rumah kerana mempunyai urusan di luar dan mangsa ditinggalkan dengan adik lelakinya yang berusia empat tahun bersama ibu saudara mereka berusia 36 tahun.
Siasatan polis mendapati mendapati bahawa mangsa bermain dan memanjat sebuah katil yang terletak di tepi tingkap dan akhirnya terjatuh ke bawah.