SANDAKAN: Fasih berbahasa Mandarin menjadi kelebihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam dalam mengeratkan hubungan dengan masyarakat Tiong Hua khususnya di sekitar Gum Gum.
Jaffari yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tai Tong menguasai bahasa Mandarin sejak di sekolah rendah lagi, sekali gus menjadikan beliau tokoh politik yang dekat di hati masyarakat Cina di kawasannya.

Kelebihan tersebut bukan sahaja memudahkan komunikasi, malah menjadikan pemudah cara dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan serta keperluan kaum Cina dengan lebih berkesan.
Terbaharu, Jaffari turun padang mendampingi penduduk Cina di Batu 14, Gum Gum menerusi Program Bantuan Khas yang menyaksikan penyerahan sumbangan berupa bakul makanan dan zink kepada penduduk memerlukan.
Suasana mesra jelas kelihatan apabila beliau sempat bertanya khabar dan berbual dengan penduduk setempat dalam bahasa Mandarin, menggambarkan keakraban dan keserasian yang terjalin sejak sekian lama.

Dalam kesempatan itu, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat tanpa mengira kaum.
“Semua bentuk bantuan ini adalah manfaat yang disediakan kerajaan negeri untuk seluruh rakyat Sabah, termasuk masyarakat Tiong Hua,” katanya.
Penduduk yang hadir menyifatkan kemesraan dan keprihatinan Jaffari sebagai bukti kepimpinan yang dekat dengan rakyat dan sentiasa berusaha mencari penyelesaian terhadap keperluan mereka.– DEMI SABAH