Melaka: Lapan Exco baharu Angkat Sumpah Jawatan dalam Istiadat Pengurniaan Suratcara, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia untuk barisan Exco Negeri Melaka yang telah berlangsung 3 petang tadi.
Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, angkat sumpah ini berlangsung di hadapan yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam yang berlangsung di Dewan Seri Utama, Seri Negeri, sekaligus menampilkan lapan muka baharu dalam barisan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka seperti yang telah diumumkan beliau hari ini.
Mendahului senarai itu, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu memegang portfolio Exco Perancang Ekonomi, Kewangan Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC).
Lapan muka baharu yang diperakui adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga ADUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dengan mempengerusikan Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan manakala ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan pula dengan portfolio Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar.
Portfolio Kesihatan dan Anti dadah negeri yang sebelum ini dipegang oleh ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman kini diambil alih oleh wakil rakyat muda, Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga ADUN Merlimau; ADUN Telok Mas yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar serta ADUN Gadek, VP. Shanmugam memegang Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Manakala tiga lagi muka baharu lain adalah ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin dengan portfolio Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan, Keluarga dan Kebajikan; ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin pula sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi serta ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem memegang portfolio Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna.
Ahli majlis mesyuarat negeri ini juga akan mengekalkan dua muka lama iaitu ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang memegang jawatan lamanya iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan manakala ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman bertukar portfolio kepada Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri.
Sulaiman bekata, barisan Exco yang dipilih ini diharapkan mampu menggalas tanggungjawab serta berkemampuan menunaikan manisfesto dan janji yang dilafazkan.