TAWAU : Polis Marin Tawau (PPM) berjaya gagalkan pengedaran rokok tanpa cukai dari negara jiran dan berjaya merampas rokok seludup di kawasan Pangkalan Kayu Balak, Batu 4, Tawau.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Tawau, DSP Ridzauddin Bin Selamat berkata pihaknya telah berjaya mengesan seorang lelaki sedang memunggah barang dari sebuah Bot ke kawasan persisiran pantai tempat tersebut.
“Saspek bertindak melarikan diri mengunakan bot ke tengah laut setelah menyedari kehadiran pihak Polis dan tidak dapat dikesan,” tambahnya.
Menurut Ridzauddin, hasil pemeriksaan lanjut telah menjumpai beberapa kotak berisi rokok pelbagai jenis yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
“Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM30,898.56. Rampasan diserah kepada Jabatan Kastam Tawau dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” tambahnya.
Pasukan Polis Marin menggalakkan masyarakat persisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat dalam mengekang jenayah terutamanya jenayah rentas sempadan melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wil.4 Sabah di nombor 013-9391197 atau berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628.


