PUTRAJAYA: Jasa yang dihulur sewaktu bencana banjir lepas membuatkan nama seorang jejaka yang lebih dikenali sebagai ‘abang viva’ semakin dikenali ramai. Tindakan ikhlas dalam membantu mangsa banjir juga seakan membuka takuk rezeki buat beliau apabila menerima pelbagai hadiah dan anugerah daripada banyak pihak.
Abang Viva atau nama sebenar Azwan Omar, 30, hari ini, telah menerima sijil penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) atas keprihatinannya membantu mangsa banjir pada Disember tahun lalu.
Azwan menerima sijil penghargaan yang disampaikan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid dalam Majlis Perbarisan Tahunan 2022 JPBM.
Azwan berkata, beliau sangat gembira dan bersyukur kerana berpeluang menerima sijil penghargaan yang tidak dijangka itu.
Tambahnya lagi penghargaan itu merupakan penghargaan kedua yang diterima daripada pasukan keselamatan selepas dipilih menjadi anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka.
Buat masa ini, beliau masih bercuti daripada kerjanya dan bercadang untuk menamatkan perkhidmatan dalam masa terdekat kerana ingin menumpukan perhatian pada kerja-kerja sukarelawan.
“Menjadi sukarelawan adalah pilihan saya dan bidang ini banyak memberi kepuasan kepada diri dan ketika ini saya lebih selesa membuat kerja kebajikan bagi membantu golongan memerlukan,” jelasnya.
Dalam masa terdekat ini, beliau bercadang menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa banjir di pusat tahfiz di Pahang.
Kutipan dana melalui laman sosial Facebook juga sudah dijalankan sejak dua hari lalu bagi membantu menyediakan peralatan di pusat tahfiz yang terjejas banjir.
“Jumlah sumbangan yang terkumpul setakat ini tidak akan didedahkan dan saya berharap kutipan dana akan bertambah sebelum meneruskan misi baharu ini,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 15 individu telah dianugerahkan Sijil Penghargaan Wira Bomba yang terdiri daripada golongan orang awam, dimana 6 orang telah menerima Sijil Penghargaan Agensi dan 15 orang lain menerima Sijil Penghargaan Pengamal Media.
Diharapkan agar tindakan sebegini mampu menjadi contoh kepada masyarakat untuk sentiasa prihatin dengan nasib orang di sekeliling.