KUALA LUMPUR: Bermula 1 April 2022, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memproses tuntutan faedah berkaitan kes COVID-19 dimana ianya dikategorikan sebagai Penyakit Khidmat.
Merujuk kepada kenyataan, PERKESO memaklumkan selain daripada Covid-19, penyakit berjangkit lain yang turut diletakkan di bawah kategori Penyakit Khidmat ialah jangkitan virus Nipah, Tuberkulosis (batuk kering) dan Leptospirosis (penyakit kencing tikus).
Sekiranya Orang Berinsurans (OB) PERKESO yang ingin membuat tuntutan faedah bagi kes COVID-19, tuntutan itu masih layak dipertimbangkan namun terhad kepada pekerjaan yang terdedah kepada agen biologi, dan adanya jangkitan dalam kalangan pekerja jagaan kesihatan.
“Permohonan diproses sebagai Penyakit Khidmat dan OB yang layak, akan menerima faedah-faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan atau Skim Keilatan merangkumi Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Pencen Penakat, Pencen Ilat dan Faedah Pengurusan Mayat, mengikut kelayakan masing-masing,” katanya.
Bagi permohonan tuntutan faedah oleh OB yang disahkan positif COVID-19 sebelum 1 April pula, tuntutan berkenaan akan diproses sebagai Bencana Kerja.
Sehingga 26 Mac lalu, PERKESO menerima sebanyak 132,988 kes tuntutan faedah COVID-19, yang merangkumi pekerja tempatan dan asing dan daripada jumlah itu, lebih RM133 juta sudah dibayar kepada OB, sejak pemberian faedah mula dilaksanakan pada 24 Februari 2021.


