KUALA LUMPUR : Animasi popular Upin Ipin tular susulan penemuan kubur milik karakter itu. Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Radzi tampil memberi penjelasan berhubung perkara tersebut.
Semalam, Les’ Copaque Production tampil menjelaskan bahawa animasi itu hanyalah rekaan semata-mata tanpa menyentuh kisah hidup mana-mana pihak.
“Ia tidak diambil atau diinspirasikan daripada kisah sesiapa yang masih hidup mahupun sudah tiada. Idea asal cerita Upin Ipin adalah dari Hajah Ainon yang juga pelakon suara Opah.” katanya.
Burhanuddin berkata, pihaknya sudah lali dengan pelbagai idea gila berhubung animasi itu.
“Ramai netizen ambil kesempatan terhadap popularitinya demi menaikkan akaun media sosial mereka,” tambahnya.
Menurutnya, terdapat cerita yang mereka kaitkan dengan Upin Ipin tidak membuatkan anda berkenan namun ia sukar untuk dikawal dan paling terbaru adalah semalam.
“Saya terkejut apabila pasukan media baharu kami berkongsi artikel berita dari Kompas, Indonesia yang menyatakan artikel itu diambil daripada sebuah akaun di TikTok mengenai Upin Ipin meninggal dunia disebabkan kemalangan sewaktu bercuti di Sulawesi, Indonesia,” kata Burhanuddin.
Perkara ini tular selepas akaun TikTok milik @bang_along3110 berkongsi video dua kubur bersebelahan antara satu sama lain. Pada batu nisan berwarna biru itu, tertulis nama Ipin yang meninggal pada 2 April 1996, manakala Upin meninggal setahun sebelumnya iaitu 6 Ogos 1995.
Burhanuddin berkata pihaknya turut menerima emel portal berita dari Jakarta yang meminta pengesahan daripadanya.
“Ia membuktikan betapa popularnya Upin Ipin di Indonesia. Saya juga digesa untuk mengeluarkan kenyataan di Facebook mengesahkan Upin Ipin masih sihat dan bersekolah serta peminat tidak patut risau,” tambahnya.
Menurut Burhanuddin, apa yang kami teladani daripada hal ini adalah Upin Ipin adalah bukan siri animasi normal. Ia adalah siri luar biasa di mana peminat percaya mereka benar-benar wujud.
“Sebagai penerbit, menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan kandungannya bermanfaat kepada generasi akan datang di mana jua mereka berada,” tambahnya.
“Kami berbangga dapat mencapai sehingga tahap sekarang dan pasukan saya akan terus bekerja-keras mengekalkan standard kami,” tambahnya lagi.- Harian Metro


