KOTA KINABALU: Pimpinan Pemuda Gagasan Rakyat yang terdiri daripada EXCO Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat dan Ketua-Ketua Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian-Bahagian telah mengadakan mesyuarat pada semalam bagi menyelaras dan memperkukuh gerak kerja organisasi, selaras dengan penstrukturan semula pentadbiran parti yang dilaksanakan baru-baru ini.
Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim berkata langkah ini penting bagi memastikan kekuatan dan keupayaan parti terus diperkasakan di setiap peringkat.
Beliau berkata, mesyuarat turut membincangkan perancangan dan pendekatan Pemuda dalam menyantuni pelbagai segmen anak muda di negeri ini, sekali gus meningkatkan sokongan golongan tersebut terhadap Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sehubungan itu, Pemuda Gagasan Rakyat akan mempergiatkan pelaksanaan program serta siri libat urus di peringkat akar umbi bagi mendengar, memahami dan mengangkat aspirasi anak muda.
Selain itu, mesyuarat ini turut memberi perhatian kepada isu-isu asas rakyat, khususnya berkaitan bekalan air, jalan raya dan elektrik.

“Pemuda mengambil maklum perkembangan serta progres pelaksanaan projek-projek berkaitan yang sedang dilaksanakan dan dijangka diselesaikan secara berperingkat dalam tempoh yang ditetapkan”
“Pemuda Gagasan Rakyat akan terus berperanan sebagai jambatan antara suara rakyat dengan pihak kerajaan. Kita bukan sahaja mahu memastikan projek-projek infrastruktur disiapkan mengikut jadual, malah isu dan kesulitan yang dihadapi rakyat sementara menunggu penyelesaian projek berkenaan juga perlu ditangani secara lebih proaktif,” katanya.
Jelas Azrul, Pemuda Gagasan Rakyat baru-baru ini telah mengadakan kunjungan dan pertemuan bersama Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Kuching.
Pertemuan tersebut merupakan langkah awal dalam membina hubungan dan memperkukuh jaringan kerjasama politik antara kedua-dua sayap parti, khususnya dalam membincangkan kepentingan serta aspirasi anak muda.
“Pemuda Gagasan Rakyat juga akan terus berdiri teguh sebagai tunjang kekuatan parti dalam mempertahankan kepimpinan Gagasan Rakyat, khususnya YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Presiden parti daripada serangan, tohmahan dan fitnah pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab”
“Sebarang usaha memburukkan kepimpinan parti dengan naratif yang tidak berasas akan ditangani secara berfakta dan berprinsip,” jelasnya lagi.
Pada masa yang sama, Pemuda tidak akan hanya berperanan sebagai benteng mempertahankan parti, tetapi juga sebagai penyambung lidah dan suara rakyat kepada kerajaan. Kita mahu memastikan setiap isu, keluhan dan aspirasi rakyat terus diangkat serta diberikan perhatian sewajarnya.
“Pemuda Gagasan Rakyat akan terus bergerak dengan semangat kesatuan, kesetiaan dan tanggungjawab, memperkukuh parti, mendekati anak muda serta memastikan suara rakyat sentiasa didengari,” katanya.


