HomeSemasaSabah peruntuk RM2.3 juta perkukuh usaha pencegahan dadah - Hajiji

Sabah peruntuk RM2.3 juta perkukuh usaha pencegahan dadah – Hajiji

BEAUFORT: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.3 juta tahun ini bagi memperkukuh usaha  pencegahan dadah menerusi peluasan Program TEKAD Sektor Awam dan pemerkasaan  SKUAD Antidadah, sebagai komitmen berterusan membendung ancaman penyalahgunaan  dadah di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata peruntukan berjumlah RM2.3 juta itu  diluluskan menerusi Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) bagi 2026, selain  pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah.

Beliau berkata, pembangunan Sabah bukan sahaja diukur melalui pertumbuhan ekonomi dan  kemajuan infrastruktur, tetapi turut bergantung kepada kesejahteraan keluarga, keselamatan  komuniti dan masa depan generasi muda.

“Ancaman dadah tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya bukan sahaja menjejaskan  kesihatan dan kehidupan individu, malah turut menggugat keharmonian keluarga, keselamatan  masyarakat serta produktiviti negeri.

“Di sebalik setiap angka yang direkodkan, terdapat individu dan keluarga yang memerlukan  perhatian, bimbingan dan sokongan untuk membina kehidupan lebih baik,” katanya ketika  merasmikan Program MADANI Kita 2026 dan Penutupan Festival Bagandang Beaufort di  Dataran Bagandang, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, berdasarkan statistik AADK sehingga Jun 2026, seramai 130,307 individu  direkodkan sebagai penagih dan penyalah guna dadah di seluruh negara, menurun 3.4 peratus  berbanding 134,916 individu bagi tempoh sama tahun lalu.

Di Sabah, katanya seramai 5,269 individu direkodkan dengan penurunan sebanyak 0.02 peratus  berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Walaupun terdapat penurunan, kita tidak boleh  berasa selesa kerana ancaman dadah terus berkembang, khususnya membabitkan dadah  sintetik seperti Amphetamine-Type Stimulants (ATS), bahan psikoaktif baharu (NPS) dan opioid  sintetik seperti fentanyl,” katanya.

Beliau berkata, golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun perlu diberikan perhatian serius  kerana mereka antara penggerak utama pembangunan negeri. Sekiranya golongan itu  terjerumus dalam penyalahgunaan dadah, kesannya bukan sahaja menjejaskan masa depan  mereka, malah turut merugikan keluarga, ekonomi dan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berkata, tiga strategi utama perlu diberikan penekanan bagi memastikan  ancaman dadah dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Strategi pertama ialah memperkukuh keluarga dan komuniti sebagai benteng utama  pencegahan dadah, termasuk peranan ibu bapa memantau pergaulan, memahami perubahan  tingkah laku anak-anak serta membina komunikasi terbuka dalam keluarga. Pada masa sama, pemimpin masyarakat, persatuan belia dan sukarelawan perlu memperluas aktiviti positif bagi  membina jati diri serta melindungi golongan muda daripada pengaruh dadah.

Hajiji berkata, usaha itu juga perlu menjangkau kawasan luar bandar, pedalaman dan pulau pulau supaya faktor geografi tidak menjadi penghalang kepada akses pendidikan antidadah,  intervensi awal dan perkhidmatan kerajaan.

Strategi kedua ialah mempertingkat penguatkuasaan serta kerjasama bersepadu antara agensi,  termasuk AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi  berkaitan menerusi perkongsian maklumat, risikan serta operasi bersepadu bagi membanteras  pengedaran dadah dan memutuskan rangkaian sindiket.

Katanya, tindakan tegas terhadap pengedar dan sindiket perlu dilaksanakan seiring usaha  pencegahan dan intervensi awal bagi membendung bekalan dadah, mengurangkan permintaan  serta mencegah kes baharu.

Strategi ketiga pula ialah memperluas akses kepada rawatan, pemulihan dan peluang pekerjaan  supaya individu yang berhadapan masalah penagihan dapat kembali berdikari serta menjalani  kehidupan produktif.

“Kita perlu tegas terhadap kegiatan pengedaran dadah, namun pada masa sama memberikan  ruang kepada individu yang berusaha untuk pulih. Mereka tidak seharusnya terus dibebani  stigma sehingga sukar kembali kepada keluarga dan masyarakat. Sebaliknya, mereka perlu  dibimbing, diberikan peluang kedua dan dibantu untuk kembali menyumbang kepada  pembangunan negara,” katanya.

Menurutnya, antara inisiatif AADK Sabah yang dilaksanakan termasuk Program Kampung  Aspirasi Bebas Dadah (KABD), Program Komuniti MADANI FELDA Sejahtera, Jerayawara  SKUAD Antidadah Dua Roda, Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD), Moto Day 9.0 dan Ops  Cegah Khas, selain tindakan berfokus di Kawasan Berisiko Tinggi (KBT).

Hajiji berharap kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah, AADK,  agensi penguatkuasaan dan masyarakat dapat diterjemahkan kepada tindakan terselaras serta  berkesan hingga ke peringkat akar umbi.

Beliau berkata, penganjuran semula festival itu dapat menghidupkan kembali suasana serta  tradisi kesenian Bagandang yang sinonim dengan masyarakat Beaufort, selain  memperkenalkannya kepada masyarakat seluruh Sabah, ia juga menjadi landasan  mempersiapkan daerah Beaufort menyambut Tahun Melawat Sabah 2027, selain memberi  impak ekonomi dan sosial kepada masyarakat menerusi peluang perniagaan kepada usahawan  tempatan melalui gerai jualan dan pasar tamu.

Sempena majlis itu, Ketua Menteri turut menyerahkan 247 geran tanah berkeluasan  keseluruhan 889.21 ekar kepada penduduk kampung. Daripada jumlah itu, sebanyak 24 geran  adalah geran PANTAS melibatkan keluasan 77.51 ekar, manakala baki 223 geran lagi adalah  geran Tanah Anak Negeri (NT) biasa dengan keluasan 811.7 ekar.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular