KOTA KINABALU: Hubungan antara Warisan, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan STAR terus diperkukuhkan di peringkat bahagian, susulan kehadiran pimpinan ketiga-tiga parti dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Warisan Sepanggar.
Naib Presiden KDM, Jumardie Lukman, yang juga merangkap Ketua Bahagian P171 KDM Sepanggar, hadir bersama barisan kepimpinan bahagiannya pada majlis berkenaan.
Turut hadir pimpinan STAR Karambunai yang diketuai Datuk Stephen Teo bersama rombongan.
Menurut Jumardie, kebersamaan antara parti-parti tempatan itu perlu terus diperkukuhkan di peringkat akar umbi dalam membawa isu dan kepentingan Sabah.
Katanya, hubungan antara pimpinan di peringkat bahagian juga penting bagi memastikan kerjasama yang dibina dapat diterjemahkan melalui program dan gerak kerja bersama.
Kehadiran pimpinan KDM dan STAR pada AGM Warisan Sepanggar itu turut dilihat sebagai kesinambungan hubungan antara ketiga-tiga parti di peringkat tempatan.
Pada penutup majlis, Jumardie mengajak seluruh hadirin melaungkan seruan bersama sebagai simbol kesatuan.
“Ayuh Sabahan! Kita bangun bersama, bersatu berpadu. KITA JAGA SABAH!”
Jumardie berkata laungan itu membawa mesej kesatuan dan semangat kerjasama dalam kalangan parti tempatan Sabah.


