HomePolitikMustapha jumpa pengerusi SPR, bincang penambahan kerusi parlimen Sabah, Sarawak

Mustapha jumpa pengerusi SPR, bincang penambahan kerusi parlimen Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR: Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Datuk Seri Ramlan Harun, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), berbincang hala tuju dan mekanisme pelaksanaan cadangan penambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak.

Mustapha berkata pertemuan ini merupakan susulan kepada perkembangan di peringkat Kerajaan Persekutuan, termasuk Mesyuarat MTPMA63 pada 11 September lalu yang mengambil maklum bahawa perkara ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan terdapat kewajaran untuk meningkatkan kadar nisbah Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada perbincangan lanjut bersama SPR,” katanya.

Jelas beliau lagi, Sabah dan Sarawak mempunyai 56 kerusi atau 25.3 peratus daripada keseluruhan Dewan Rakyat.

“Cadangan yang dikemukakan ialah untuk menjadikan keseluruhannya kepada 35 peratus secara seimbang dengan kerusi di semenanjung Malaysia”

“Perbincangan hari ini memberi tumpuan kepada proses serta pertimbangan perlembagaan, perundangan dan teknikal, termasuk aspek persempadanan bahagian pilihan raya, data yang diperlukan serta bentuk libat urus antara Kerajaan, SPR dan pihak berkepentingan,” jelasnya.

Tambah Mustapha, perkara ini bukan semata-mata soal menambah kerusi. Ia berkaitan usaha memastikan kedudukan dan suara Sabah serta Sarawak dalam Parlimen terus diperkukuh selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia dan pelaksanaan MA63.

“BHESS akan terus bekerjasama dengan SPR supaya sebarang tindakan susulan dapat dilaksanakan secara teratur, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang serta menghormati bidang kuasa SPR,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular