SEPANG: Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said yang juga jurucakap UMNO Selangor memohon mengambil maklum reaksi dan pandangan yang timbul berhubung ucapan beliau dalam Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Noorazli berkata, kisah tersebut digunakan semata-mata sebagai satu analogi untuk mengambil pengajaran tentang pentingnya fokus, ketekunan dan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu matlamat.
“Ia sama sekali tidak dimaksudkan untuk menghina, memperlekeh atau mempersendakan mana-mana individu, kepercayaan mahupun agama,” jelasnya.
Namun demikian beliau memahami bahawa apabila sesuatu cerita menyentuh figura atau rujukan keagamaan, ia boleh ditafsirkan secara berbeza dan menimbulkan salah faham, khususnya dalam masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kepercayaan.
“Sekiranya penyampaian saya itu telah menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut agama Kristian, saya dengan penuh rendah hati bersedia memohon maaf,” katanya dilaman media sosial beliau.
Noorazli yang juga Bendahari UMNO Selangor, menerima perkara ini sebagai satu pengajaran untuk lebih berhati-hati dalam memilih analogi dan menyampaikan sesuatu pandangan pada masa hadapan.
“Saya menghormati setiap agama dan kepercayaan serta sentiasa menjunjung keharmonian, sikap saling menghormati dan persefahaman yang menjadi asas penting kepada kehidupan masyarakat majmuk di negara ini”
“Semoga penjelasan ini dapat meredakan salah faham yang timbul dan kita dapat terus memelihara keharmonian serta semangat saling menghormati antara satu sama lain. Sekian, terima kasih,” katanya.


