CYBERJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud menghadiri Majlis Peluncuran AI Malaysia yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara Cyber Axis, Cyberjaya.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Mustapha berkata peluncuran AI Malaysia merupakan langkah strategik ke arah merealisasikan aspirasi negara untuk muncul sebagai sebuah Negara AI menjelang 2030.
Menurut beliau, inisiatif itu akan memperkukuh ekosistem kecerdasan buatan (AI) negara yang selamat, bertanggungjawab dan berdaya saing, di samping mempercepatkan pembangunan ekonomi digital.
Katanya, AI Malaysia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 belia menerusi pembangunan bakat, peningkatan kemahiran serta pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi digital.
“Melalui inisiatif ini, generasi muda akan terus diperkasa supaya mampu menguasai teknologi kecerdasan buatan, menerajui inovasi dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Mustapha berkata, AI Malaysia turut akan mengemudi pelaksanaan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 bagi mempercepatkan adaptasi teknologi AI secara selamat dan bertanggungjawab dengan sokongan Institut Keselamatan AI Malaysia.
Beliau berharap inisiatif berkenaan menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai bakat tempatan yang mampu meningkatkan daya saing negara serta memastikan Malaysia terus berada di barisan hadapan dalam pembangunan teknologi dan ekonomi digital.


