KUALA LUMPUR: Sistem MyProjek berperanan sebagai pangkalan data utama bagi pelaksanaan dan pemantauan projek pembangunan Persekutuan di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, sistem itu membolehkan pemantauan projek dilaksanakan secara menyeluruh menerusi mekanisme yang melibatkan semua peringkat pentadbiran.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin pada persidangan Dewan Rakyat.
Menurut Mustapha, pemantauan projek pembangunan dilakukan daripada peringkat tertinggi kerajaan sehingga ke peringkat daerah dan bahagian bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut perancangan.
“Kita panggil sistem MyProjek sebagai pangkalan data utama pelaksanaan dan pemantauan projek-projek pembangunan Persekutuan.
“Semua projek dipantau daripada peringkat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri sehingga ke daerah dan bahagian mengikut mekanisme yang telah ditetapkan,” katanya.
Mengulas perkembangan projek di Parlimen Puncak Borneo, Mustapha berkata, laporan terperinci dalam sistem MyProjek menunjukkan sebanyak 38 projek di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sedang dilaksanakan di kawasan itu bagi tahun ini.
Beliau berkata, setakat ini prestasi keseluruhan pelaksanaan projek berkenaan telah mencapai 38.77 peratus.
Katanya, sistem MyProjek membolehkan kerajaan memantau kemajuan setiap projek secara berterusan bagi memastikan pelaksanaan pembangunan berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat.


