KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud menegaskan komitmennya untuk membawa pelbagai isu infrastruktur yang dihadapi penduduk Kampung Mansiang kepada agensi berkaitan bagi memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan segera.
Komitmen itu dizahirkan selepas beliau meluangkan masa menyertai program gotong-royong bersama penduduk kampung sebelum mengadakan sesi dialog bagi mendengar sendiri pandangan, aduan dan keperluan masyarakat setempat.
Menurutnya, antara isu utama yang dibangkitkan ialah masalah sistem perparitan, kejadian banjir yang kerap berlaku ketika hujan lebat, culvert yang tersumbat serta beberapa isu infrastruktur lain yang memberi kesan kepada kehidupan harian penduduk.
Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai situasi sebenar, beliau turut meninjau beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan bermasalah sejurus selesai sesi dialog.
Katanya, hasil tinjauan itu akan membantu mengenal pasti punca permasalahan serta tindakan yang perlu diambil oleh pihak berkaitan.
Beliau berkata, isu-isu berkenaan memerlukan kerjasama erat antara komuniti dan agensi kerajaan bagi memastikan penyelesaian yang lebih menyeluruh dapat dilaksanakan.
Sehubungan itu, setiap aduan yang diterima akan dikemukakan kepada pihak berkenaan supaya penilaian teknikal dapat dilakukan sebelum tindakan susulan disegerakan mengikut keutamaan dan keperluan di lapangan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Kampung Mansiang, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), CDO UPPM N.18 Inanam serta semua pihak yang hadir dan berkongsi pandangan sepanjang program berkenaan.


