HomeSemasaCadangan Galeria, Mini Muzium Penjawat Awam

Cadangan Galeria, Mini Muzium Penjawat Awam

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor  mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah untuk mempertimbangkan  pewujudan sebuah Galeria atau Mini Muzium Penjawat Awam dengan tumpuan kepada  kerusi Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN).

Menurutnya galeria ini boleh mempamerkan segala dokumen, teks-teks ucapan dan  memorabilia berkaitan mantan-mantan SKN, termasuk rekod pencapaian dan kejayaan  dari satu era ke satu era, sesuai dengan kepimpinan setiap SKN berkenaan.

“Sudah pasti galeria ini boleh menjadi pusat rujukan untuk pembangunan sektor  perkhidmatan awam, sekaligus sebagai pusat sumber bagi golongan pelajar dari  peringkat menengah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi,” katanya pada majlis  Sanjungan Budi Tautan Legasi mantan SKN Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong di  Magellan Sutera Resort malam ini.

Ketua Menteri berkata jawatan SKN ini merupakan jawatan yang tertinggi dalam  perkhidmatan awam negeri.

“Sejak kita merdeka 63 tahun lalu, Sabah baru mempunyai 11 orang SKN, iaitu Robert  Turner, Datuk John Dusing, Tan Sri Richard Lind, Tan Sri Abdul Hamid Egoh, Tan Sri  Simon Sipaun, Tan Sri Datu Haji Khalil bin Haji Jamalul, Datuk K.Y. Mustafa, Tan Sri  Sukarti Wakiman, Datuk Seri Panglima Haji Hashim Paijan, Datuk Seri Panglima Haji  Safar Untong dan terkini, Datuk Zainudin Haji Aman.

“Setiap daripada mantan-mantan SKN ini, mereka mempunyai kelebihan, kejayaan dan  legasi mereka yang tersendiri. Maka pada malam ini kita meraikan legasi yang  ditinggalkan oleh SKN ke-10 (Safar), setelah 6 tahun 7 bulan 24 hari beliau menggalas  jawatan itu dengan warna warni perjuangan bersama pimpinan negeri dan warga  penjawat awam,” katanya.

Hajiji turut memberi pujian kepada Safar yang menurut beliau bukan sahaja telah  berjaya menambah tahap kecekapan dalam perkhidmatan awam negeri, malah  berupaya melakukan perubahan yang positif, selaras dengan perkembangan dan  kemajuan teknologi maklumat selama memegang jawatan SKN.

“Beliau mengusahakan inisiatif pendigitalan dalam pentadbiran kerajaan dengan  memperkenalkan Smart Digital Government atau Kerajaan Pintar Digital di dalam sistem  penyampaian kerajaan.

“Satu usaha yang bukan sahaja wajar diteruskan, bahkan dinaiktaraf dari masa ke  semasa sesuai dengan kehendak dan keperluan,” katanya.

Hajiji berkata memandangkan Safar berpengalaman luas dalam pentadbiran dan  pengurusan, disamping kebolehannya dalam soal pembangunan tanah, maka beliau  telah diberi peranan baharu sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd  (TAED).

“Saya percaya syarikat Kerajaan itu akan mendapat faedah yang besar daripada  kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Safar,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji bagi pihak pimpinan Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan  dan ucapan terima kasih kepada Safar atas jasa bakti dan sumbangan kepada  Perkhidmatan Awam Negeri ini sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular