BATU SAPI: “Budaya buli bukan lagi perkara kecil, malah ia mampu meninggalkan parut sepanjang hayat mangsa.”
Demikian tegas Pengerusi Masjid Wasatiyyah Batu Sapi, Mohd Zharif Aizat Samsudin ketika berucap di hadapan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Sapi dalam Program Bicara Didik Bahaya Buli dan Pemantapan Sahsiah hari ini.
Menurut beliau, gejala buli yang berlaku sama ada secara fizikal, mental, verbal atau di alam siber, berpotensi menggugat keselamatan sekolah dan merosakkan budaya hormat-menghormati sesama pelajar.

“Trauma emosi, keretakan hubungan sosial dan hilang motivasi untuk belajar adalah antara kesan buruk yang ditanggung mangsa buli.
“Lebih membimbangkan, ada kes yang membawa kepada tragedi yang tidak diingini,” katanya.
Justeru katanya, penganjuran program itu yang merupakan kerjasama pihak sekolah dan Masjid Wasatiyyah, bertujuan memberi pendedahan awal serta kesedaran kepada pelajar mengenai seriusnya bahaya buli.
Zharif menegaskan, buli bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah bertentangan dengan nilai murni dan ajaran agama.
Beliau berkata, pelajar seharusnya membentuk sahsiah unggul dengan berdisiplin, berakhlak serta bertanggungjawab agar tidak terjebak dengan gejala negatif.

“Pemantapan sahsiah sangat penting kerana ia benteng diri dalam menghadapi cabaran dunia moden.
“Pelajar yang berakhlak akan menjadi pemimpin masa depan yang dihormati,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, guru-guru serta penceramah jemputan yang menjayakan program itu, selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia menjadikan sekolah sebagai zon selamat bebas daripada jenayah dan salah laku.

Tambahnya, pelajar diseru supaya menghayati setiap ilmu yang dikongsi sepanjang program itu dan menjadikannya pedoman dalam membina diri sebagai insan berdisiplin, mulia serta bebas daripada gejala buli. — DEMI SABAH