SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam menegaskan kemampuan dan ketelusan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor terus terbukti melalui pelbagai bentuk bantuan serta manfaat yang disalurkan kepada rakyat.
Menurutnya, antara inisiatif yang jelas memberi impak besar adalah program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR), kebajikan warga emas dan anak yatim, pelbagai inisiatif pendidikan, e-Kasih dan pelbagai geran pembangunan infrastruktur.

“Alhamdulillah, kita mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana sentiasa mendengar luahan saya sebagai ADUN yang dilantik, terutama dalam menghantar permohonan untuk membantu rakyat di kawasan Gum Gum khususnya dan di seluruh Sabah.
“Banyak keistimewaan boleh diperoleh menerusi inisiatif yang diwujudkan kerajaan.
“Justeru, saya menasihatkan penduduk kampung supaya menyenaraikan nama mereka yang benar-benar layak agar bantuan ini dapat sampai kepada golongan sasar,” katanya pada program Bantuan Khas dan pengagihan sumbangan bakul makanan, zink dan plywood di Kampung Kitagas, dekat sini.
Dalam pada itu, Jaffari turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk kampung yang sentiasa bersama beliau sejak dahulu lagi serta memelihara suasana kekeluargaan yang erat.

“Saya di kampung ini memang tidak asing lagi, di sinilah tempat saya membina keluarga.
“Terima kasih juga kepada tuan rumah dan JKK yang memberi ruang untuk kita mengagihkan bantuan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi JKK Kampung Kitagas, Daunah Surat turut merakamkan penghargaan kepada Jaffari kerana tidak pernah mengabaikan kebajikan penduduk.
“Kalau Tuhan kabulkan doa kami, sudah pasti kami mahu kerajaan sekarang ini terus dipertahankan,” katanya.
Bagi tuan rumah program, Sabri Ladjarudin, beliau menegaskan bahawa rakyat di peringkat akar umbi sangat menghargai keprihatinan kerajaan GRS.
“Pandangan saya sebagai rakyat biasa, kalau boleh biarlah GRS terus memerintah pada penggal akan datang kerana bantuan seperti ini memang dapat dimanfaatkan oleh penduduk kampung,” katanya. — DEMI SABAH