spot_img
HomeSemasaKempen Lestari Sandakan fokus tangani pencemaran di Kampung Sim-Sim

Kempen Lestari Sandakan fokus tangani pencemaran di Kampung Sim-Sim

SANDAKAN: Isu pengurusan sampah dan pencemaran plastik di perairan Kampung Sim-Sim yang menjadi antara destinasi ikonik pelancongan Sandakan, kembali diberi perhatian melalui penganjuran Kempen Komuniti Lestari Sandakan 2025.

Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Walter Kenson berkata, kampung berusia lebih 150 tahun itu bukan sahaja terkenal dengan tarikan makanan laut segar, malah turut berdepan cabaran besar melibatkan pencemaran alam sekitar.

“Menyedari cabaran ini, kempen yang kita adakan hari ini merupakan kesinambungan daripada program tahun 2024 dengan memilih Kampung Sim-Sim sebagai lokasi utama.

“Harapan kita agar mesej kesedaran tentang kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar dapat disampaikan lebih dekat kepada komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program berkenaan, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee dan ADUN Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung.

Program itu dilaksanakan selaras dengan Lokal Agenda 21 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Rakan Lestari Kementerian Kewangan dan Teknologi Persekutuan (KKTP) dengan sokongan penuh serta pembiayaan daripada kedua-dua kementerian tersebut.

Walter menegaskan, tahun ini MPS menumpukan usaha memperluas capaian kesedaran kepada seluruh masyarakat Sandakan di samping memperkukuh promosi Agenda Komuniti Lestari Sandakan 2023–2027 yang dilancarkan pada Jun tahun lalu.

Katanya, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), beliau mahu budaya hijau dan amalan lestari benar-benar meresap ke dalam kehidupan seharian warga Sandakan.

Antara pengisian menarik program termasuk aktiviti plogging, penanaman pokok, bengkel kitar semula plastik bersama Future Alam Borneo, bengkel seni, Eco Free Market bersama Cahaya Society, jualan Agro Madani FAMA serta food truck usahawan tempatan.

Sebagai simbolik pelancaran, plaque Rakan Lestari Sim-Sim diserahkan oleh MPS kepada Vivian Wong, sebelum diberikan kepada wakil komuniti Kampung Sim-Sim.

Walter turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik termasuk Pejabat Parlimen Sandakan, FAMA, Pejabat Kesihatan Sandakan, Future Alam Borneo, Cahaya Society serta Pengakap Daerah Sandakan, selain penceramah jemputan dari Universiti Malaysia Sabah, Dr Mohamma Tahir Mapa.

“Saya menyeru semua pihak sama ada agensi, NGO mahupun komuniti setempat untuk berganding bahu memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara demi generasi akan datang,” ujarnya. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular