spot_img
HomeEkonomiKerajaan tegaskan komitmen terus salur subsidi LPG pada peniaga kecil

Kerajaan tegaskan komitmen terus salur subsidi LPG pada peniaga kecil

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan bahawa subsidi gas petroleum cecair (LPG) akan terus dinikmati oleh peniaga makanan dan minuman berskala mikro dan kecil, walaupun penggunaan melebihi had yang ditetapkan.

Menurut KPDN, LPG telah diwartakan sebagai barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] sejak 21 Oktober 1974 dan harga jualannya ditetapkan mengikut Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No. 4) 2015.

Harga runcit semasa LPG bersubsidi adalah RM19.00 bagi tong 10kg, RM22.80 bagi 12kg dan RM26.60 bagi 14kg, manakala harga bagi kegunaan industri bergantung kepada pasaran.

Berdasarkan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, entiti perdagangan yang menggunakan LPG melebihi 42kg diwajibkan memohon permit barang kawalan berjadual dan tidak dibenarkan menggunakan LPG bersubsidi.

Namun, pengecualian diberikan kepada peniaga makanan dan minuman mikro serta kecil bagi memastikan kos operasi mereka kekal terkawal.

“Kerajaan memahami keperluan golongan peniaga kecil dan penjaja makanan untuk terus mendapat manfaat subsidi LPG, dan isu bebanan tidak berbangkit,” jelas kenyataan itu.

KPDN turut memaklumkan, pihaknya akan terus memperketatkan penguatkuasaan dan pemeriksaan bagi memastikan bekalan LPG bersubsidi sampai kepada golongan sasaran serta mengelakkan penyelewengan dalam rantaian pengedaran. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular