KOTA BELUD: Dua lelaki cedera selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang dinaiki terbabas dan melanggar tiang elektrik di Simpang Kampung Rampaian, di sini malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah, panggilan kecemasan diterima jam 9.09 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud bersama jentera FRT dan EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 15 kilometer.
Komander Operasi, PBK I Sufian Aban berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi jam 9.25 malam, seorang daripada mangsa berusia 22 tahun didapati tersepit di tempat duduk penumpang hadapan, manakala seorang lagi mangsa berusia 23 tahun telah dikeluarkan orang awam.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan Road Traffic Accident (RTA) untuk mengeluarkan mangsa sebelum kedua-duanya diberikan rawatan awal pasukan EMRS.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kota Belud menggunakan jentera EMRS Bomba dan ambulans KKM,” katanya.
Menurutnya, operasi yang turut dibantu pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu ditamatkan sepenuhnya jam 10.03 malam selepas pemeriksaan keselamatan di lokasi dilakukan. — DEMI SABAH


