Sabah yang terkenal dengan tempat-tempat pelancongan yang indah sudah menjadi tarikan bagi wilayah tersebut dalam menjana pendapatan dan untuk menarik perhatian pelancong dalam dan luar negara.
Setiap tempat pelancongan di Sabah mempunyai tarikan mereka yang tersendiri membuat Sabah menjadi salah satu destinasi yang unik untuk para pelancong. Empat tempat yang sering menjadi tarikan pelancong berkunjung ke Sabah yang wajib dilawati.

Gunung Kinabalu, Kota Kinabalu.
Bukanlah Sabah jika tidak menyatakan Gunung Kinabalu merupakan salah satu destinasi pelancongan wajib untuk dikunjungi. Gunung Kinabalu merupakan ikon kebanggaan penduduk di Sabah dan juga destinasi tarikan pelancongan yang terkenal di Malaysia.
Gunung ini berdiri pada 4,095 meter di atas paras laut dan merupakan gunung yang tertinggi di Malaysia. Jadi, tempat ini merupakan destinasi kegemaran kepada para pendaki yang melihat Gunung Kinabalu sebagai cabaran bagi mereka. Aktiviti pendakian akan memakan masa 2 hari bergantung pada keadaan cuaca dan memerlukan pemandu pelancong.
Di puncak, para pendaki akan menikmati pemandangan yang indah meliput seluruh panorama Sabah yang hijau. “Ianya merupakan sebuah pengalaman yang berharga dan mengujakan, dapat dinikmati bersama kawan-kawan saya,” kata Alan Bernett pelancong dari Australia.
Waktu operasi adalah 24 jam setiap hari dan harga tiket adalah tertakluk pada harga lawatan berpandu.

Pulau Mantanani, Kota Belud
Pulau yang kelihatan seperti mata pisau dari pandangan burung adalah syurga bagi penggemar hidupan marin dan sukan air. Pulau ini mempunyai pantai yang panjang sehingga 25 meter membuatkan Pulau Mantanani sesuai untuk aktiviti di tepi pandai seperti trekking, berkelah dan bersantai. Air lautnya yang bersih dan jernih seperti cermin membolehkan pelancong melihat hidupan marin daripada permukaan air sahaja.
Sutera@Mantanani Resort merupakan resort utama di Pulau Mantanani yang menguruskan keperluan untuk para pelancong yang berkunjung. Pekerja dan staff yang telah divaksin sepenuhnya, maka para pelancong tidak perlu risau dengan keselamatan mereka selagi mereka mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dengan betul.
Waktu operasi adalah 24 jam setiap hari dan harga tiket tertakluk pada harga lawatan berpandu.

Pulau Manukan, Kota Kinabalu
Satu lagi pulau yang menjadi tarikan pelancongan di Sabah adalah Pulau Manukan. Tidak jauh dari Jesselton Point, Pulau Manukan juga mempunyai pantai yang bersih, air yang jernih dan memiliki kemudahan yang menarik perhatian para pelancong sekitar 200,000 orang setiap tahun.
Kemudahan menarik yang disediakan oleh pihak resort Pulau Manukan ialah rumah kelab, restoran, dan juga pusat menyelam. Ramai pelancong yang berpengalaman dalam aktiviti menyelam skuba berkunjung ke Pulau Manukan kerana persekitaran pantainya yang bersih dan air laut jernih menambahkan keseronokan terhadap aktiviti menyelam.
“Sepanjang hidup saya menjadi penyelam, saya tidak menjangkakan tempat ini sangat menarik bagi saya sebab persekitaran yang bersih, suasana yang ceria dan air laut yang jernih.” kata Ian Mickel pelancong dari New Zealand.
Waktu operasi bagi tempat pelancongan Pulau Manukan adalah 24 jam setiap hari. Harga tiket untuk orang dewasa adalah RM3 dan untuk kanak-kanak adalah RM1.

Taman Negara Banjaran Crocker, Keningau
Ditubuhkan pada tahun 1984, Taman Negara Banjaran Crocker merupakan salah satu taman terbesar di Sabah dengan kemudahan yang menarik seperti menara pemerhatian, pusat pameran, rumah serangga dan rumah paku-pakis.
Bagi pencinta hidup flora dan fauna, Taman Negara Banjaran Crocker ini mempunyai 500 spesies tumbuh-tumbuhan, 107 mamalia, 67 amfibia, 52 reptilia dan 26 spesies hidupan ikan. Semua hidupan liar dan tumbuh-tumbuhan menjadi bahan kajian oleh beberapa pengkaji yang dibenarkan untuk melakukan aktiviti tersebut.
Selain itu, Taman Negara Banjaran Crocker ini juga berfungsi sebagai bekalan air yang penting bagi bandar dan masyarakat di Sabah.
Waktu operasi bagi Taman Negara Banjaran Crocker adalah 24 jam setiap hari dan tiket adalah percuma untuk semua golongan umur.
Bagi Sabah yang kaya dengan adat, budaya dan sumber alam yang masih belum diterokai, Sabah masih mengekalkan keaslian identiti alam sekitarnya dan penduduk yang peramah. Hal ini menjadi pontesi bagi penduduk sabahan untuk memasarkan identiti mereka terutamanya sekali dalam sektor pelancongan di mata dunia.
Penulis: Mohamad Fadzil Bin Sabarudin


