TENOM: Dua lelaki cedera, termasuk seorang patah kaki, selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan jalan raya di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tsi Sin, di sini malam tadi.
Menurut Komander Operasi, PBK I Shahril Sulaiman, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom menerima panggilan kecemasan jam 8.41 malam sebelum tiba di lokasi empat minit kemudian dengan kekuatan lima anggota.
“Kemalangan melibatkan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota dan sebuah Proton Wira.
“Pemandu Proton Wira, lelaki berusia 22 tahun mengalami patah kaki dan diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke Hospital Tenom,” katanya.
Menurutnya, pemandu Toyota, lelaki berusia 18 tahun, pula mengalami cedera ringan dan telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Katanya, operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM.
“Setelah memastikan tiada risiko lain di lokasi, operasi ditamatkan jam 9.34 malam,” katanya. — DEMI SABAH


