SANDAKAN: Tiga buah rumah pekerja musnah dalam satu kejadian kebakaran di kawasan KLK Minat Teguh, Batu 23, Sandakan malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima jam 8.55 malam melalui talian balai sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 41 kilometer.
Komander Operasi Kanan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, sebaik tiba di lokasi jam 9.53 malam, pasukan mendapati kebakaran melibatkan tiga buah rumah pekerja jenis tidak kekal yang masing-masing berkeluasan 15×20 kaki dan 20×60 kaki, kesemuanya terbakar 100 peratus.
Turut musnah dalam kebakaran itu sebuah kereta jenis Proton Saga yang turut terbakar rentung.

“Pasukan operasi menjalankan pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula dari dua jentera FRT secara ofensif dengan sumber air diperoleh daripada jentera dan water tanker,” katanya.
Beliau berkata, seorang lelaki berusia 68 tahun dilaporkan cedera melecur pada bahagian tangan dan belakang badan.
Katanya, mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan lain jam 10.00 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.33 malam selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya wujud di lokasi.
Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DEMI SABAH