PETALING JAYA: Aktiviti mencetak wang palsu merupakan kes yang tidak asing lagi di negara ini. Meskipun kes ini tidak membimbangkan, namun jenayah ini akan memberi kesan buruk kepada peniaga khususnya peniaga-peniaga kecil.
Semua premis perniagaan bertaraf pasar raya menggunakan mesin cahaya ultraungu UV di kaunter-kaunter pembayaran untuk membendung jenayah memalsukan wang kertas RM50 dan RM100, tetapi keadaan ini tidak dapat dielakkan oleh peniaga kecil di tepi jalan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, lebih 80 peratus kes yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah berkaitan penemuan wang palsu di kaunter-kaunter bank.
Menurut beliau, wang palsu berkenaan dipercayai dicetak sendiri oleh individu yang terlibat bagi melakukan jenayah ketika membuat pembayaran sehingga menyukarkan pihak berkuasa mengesan penjeyah tersebut.
“Siasatan mendapati, pengguna wang palsu pada masa kini lebih tertumpu kepada kegiatan individu terutama mereka yang terdesak untuk membeli dadah dan penipuan pembelian telefon bimbit melalui laman sosial.
“Mereka ini akan menggunakan wang-wang palsu yang dicetak sendiri sebelum membuat sesuatu pembayaran. Jadi, boleh disimpulkan jenayah ini dilakukan oleh individu yang mempunyai tabiat kecenderungan untuk melakukan jenayah,” katanya.


