SANDAKAN: Pengisian minyak diesel untuk janakuasa (genset) Jabatan Air Sandakan (JAS) baru-baru ini diselaraskan secara bersama antara Pusat Khidmat Parlimen Sandakan dan pihak Jabatan Air, bukan ditanggung oleh Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee seperti yang didakwa di media sosial.
Vivian turut melakukan lawatan ke Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud bagi meninjau proses berkaitan serta mendapatkan maklumat mengenai situasi bekalan air semasa di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, dakwaan yang tular di beberapa laman Facebook yang mendakwa beliau membeli minyak diesel tersebut disangkal sepenuhnya oleh pihaknya.

Pegawai Perhubungan P186 Sandakan, Asrul Abdul Samat menegaskan, Vivian atau mana-mana wakil pejabatnya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi atau tidak rasmi menyatakan pembiayaan bagi pembelian minyak diesel itu.
“Beliau hanya bertindak membantu memudahcara urusan tersebut dengan pihak Jabatan Air.
“Penjelasan ini penting agar tidak timbul salah faham dalam kalangan orang ramai,” katanya.
Menurut Asrul yang juga Setiausaha Organisasi DAPSY Sandakan, pemilik laman sosial yang menyiarkan dakwaan tersebut juga telah dihubungi untuk memperbetulkan fakta.
“Amat penting untuk semua pihak mengetahui perkara sebenar dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar atau berunsur fitnah,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa fokus utama Vivian dan pasukannya membantu rakyat mengharungi krisis air di Sandakan dengan sebaik mungkin. — DEMI SABAH