KUALA LUMPUR: Kebenaran mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci mulai 8 Februari ini menimbulkan kegembiraan yang besar buat seluruh umat islam, setelah sebulan menanti keputusan kebenaran dari pihak kerajaan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keputusan itu dibuat berikutan hasrat kerajaan enggan melanjutkan penangguhan sementara ibadah umrah yang berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.
“Baru tadi kami buat keputusan seperti mana yang dinyatakan dahulu iaitu penangguhan umrah hanya satu bulan sahaja. Bermula 8 Februari ini, agensi pelancongan umrah boleh meneruskan aktiviti umrah seperti yang telah diputuskan oleh Kabinet.”
Beliau berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu akan dibincang bersama agensi pelancongan umrah demi memastikan jemaah yang balik dari Tanah Suci dapat memilih tempat kuarantin mereka sendiri.
“Garis panduan SOP baharu susulan penarikan semula penangguhan akan dibincangkan secara terperinci termasuk bersama agensi umrah,” katanya.


