BEAUFORT: Tiga buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Kota Klias, dekat sini, pagi tadi namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 jam 8.22 pagi.

“Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi, sebelum mendapat bantuan lapan anggota dari BBP Beaufort.
“Kebakaran melibatkan tiga buah rumah iaitu dua rumah jenis separuh kekal berkeluasan 40×40 kaki yang masing-masing terbakar 90 peratus serta sebuah rumah tidak kekal berkeluasan 30×25 kaki yang musnah 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan empat pancutan, menggunakan sumber air dari tangki jentera serta pili bomba berhampiran.

“Kebakaran berjaya dikawal jam 9.19 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya jam 9.35 pagi,” katanya.
Menurutnya, operasi diketuai PBK I Hamdy Bin Aminuddin dengan kekuatan keseluruhan 19 anggota melibatkan aset dua jentera FRT, sebuah EMRS, sebuah water tanker dan sebuah pacuan empat roda (Vigo).
Punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DEMI SABAH