KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, penganjuran Sukan Muhibbah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) berjaya memperkukuhkan semangat kekitaan, kerjasama serta budaya kerja sihat dalam kalangan warga kementerian, jabatan dan agensinya.
Beliau berkata, temasya sukan itu bukan sekadar platform untuk mencari juara, sebaliknya menjadi medium penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim serta membentuk organisasi yang lebih mantap dan produktif.
“Sesungguhnya, organisasi yang mempunyai hubungan kerja yang erat akan lebih mudah mencapai kecemerlangan kerana setiap anggotanya saling memahami, saling membantu dan berkongsi matlamat yang sama,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Sukan Muhibbah MAFFI, di Dewan Serbaguna, di sini hari ini.
Menurutnya, Sukan Muhibbah MAFFI mempertandingkan sepuluh acara iaitu badminton, ping pong, dart, carrom, pickleball, futsal, bola tampar, boling, olahraga serta e-sukan yang berjaya menghimpunkan penyertaan daripada semua jabatan dan agensi di bawah MAFFI.
Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada urus setia induk, jawatankuasa pengelola, pengadil, urus setia teknikal, sukarelawan serta semua pihak yang menjayakan temasya berkenaan.
Dalam pada itu, Jamawi juga akan menganjurkan perlawanan bola sepak Piala MAFFI mengikut kategori bagi merancakkan lagi aktiviti sukan kementerian.
Beliau berkata, komitmen yang ditunjukkan membuktikan warga MAFFI bukan sahaja cemerlang dalam melaksanakan tugas rasmi, malah mampu bekerjasama dengan baik dalam menjayakan program yang menyatukan seluruh warga kementerian.
“Saya berharap semangat kesukanan yang dipupuk sepanjang temasya ini akan terus diterjemahkan dalam budaya kerja harian dengan bekerja sebagai satu pasukan, saling menyokong, saling menghormati dan sentiasa mengutamakan kepentingan organisasi serta rakyat yang kita berkhidmat,” katanya.
“Kelmarin, saya bersama Setiausaha Tetap Kementerian yang baru, Datuk Jifrin Mohammad melawat dicadangkan sebagai tapak meletak kereta bagi kemudahan pelanggan (para petani, penoreh getah, nelayan dah lain-lain) ke pejabat kementerian.”
Jamawi bersama dengan Setiausaha Tetap juga mengadakan tinjauan kafeteria dalam usaha menambah baik premis berkenaan demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua yang berkunjung ke bangunan Kementerian.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pasukan yang muncul juara serta menyifatkan setiap peserta sebagai pemenang kerana berani menyahut cabaran dan mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi.
Jamawi berharap Sukan Muhibbah MAFFI diteruskan sebagai acara tahunan kerana manfaatnya bukan sahaja kepada kesihatan fizikal warga kerja, malah dalam membentuk budaya organisasi yang positif, harmoni dan produktif, di samping memperkukuhkan semangat muhibbah serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat Sabah.
Terdahulu, Jamawi mempengerusikan sesi libat urus hala tuju dan kerjasama strategik industri padi dan beras di Sabah dan seterusnya menghadiri mesyuarat bersama dengan Sekretariat Sabah Maju Jaya yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai.


