spot_img
HomeSemasaStruktur rumah terjejas akibat air pasang besar

Struktur rumah terjejas akibat air pasang besar

KUALA SELANGOR, 18 Okt — Kejadian air pasang besar yang melanda persisiran pantai Selangor sejak Jumaat lepas menyebabkan rumah di beberapa kawasan dimasuki air hari ini sehingga ada yang menyebabkan struktur rumah terjejas dan kerugian harta benda.

Sebelum ini, fenomena air pasang besar dengan ketinggian air laut boleh mencecah sehingga 5.8 meter, diramal melanda pesisir pantai di lima daerah di Selangor pada Sabtu hingga Isnin ini, serta pada 15 dan 16 Nov depan.

Seorang penduduk Kampung Sungai Janggut, Jeram di sini Mohd Helmi Husin, 48, terpaksa menanggung kerugian apabila struktur kayu dan besi di rumahnya mereput akibat dinaiki air masin dan keadaan itu mengundang bahaya kepada beliau, isteri dan empat anaknya berusia tiga hingga 15 tahun.

Mohd Helmi yang telah sembilan tahun menetap di kampung itu berkata sejak lima tahun lepas, kejadian air pasang besar yang berlaku antara tiga ke empat kali setahun itu juga mengakibatkan hakisan pada lantai rumahnya yang dibina oleh Lembaga Zakat Selangor.

Lebih menyedihkan, Mohd Helmi bersama isteri dan empat anaknya terpaksa tidur di dalam kereta sejak kejadian air pasang bermula Jumaat lepas kerana rumah mereka dinaiki air.

“Jika sebelum ini, saya boleh tumpang berteduh di rumah anak sulung saya di Klang jika berlaku banjir, tetapi kali ini sebab Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, saya duduk di sini dahulu sementara menunggu air surut.

“Air banjir pada pagi tadi naik agak tinggi berbanding semalam dan Jumaat lepas, jika sebelum ini air hanya naik pada paras lutut (0.3 meter) tetapi pagi tadi air naik sampai ke paras pinggang (1.2 meter), ini paras paling tinggi, hampir semua barangan elektrik, perabot di rumah rosak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk terjejas, Saiful Hazri Sulaiman, 33, berkata beliau menyedari air mula masuk ke rumahnya pada kira-kira pukul 6 pagi tadi.

“Semalam, air hanya naik di halaman rumah sahaja dan tidak sangka pagi tadi air boleh masuk sehingga ke dalam rumah, saya sempat bawa isteri dan anak keluar ke tempat tinggi, barangan perabot dan elektrik semua habis rosak kerana air naik sehingga ke paras lutut di dalam rumah,” katanya.

Tambah kerani Pos Malaysia Berhad itu, beliau berharap pihak kerajaan dapat menambah ketinggian ban dan benteng di sepanjang pantai Jeram ke Sungai Sembilang bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Kampung Bagan Hailam, Pelabuhan Klang sehingga 7.30 pagi tadi mendapati rumah-rumah nelayan di kawasan berkenaan mula dinaiki air setinggi paras betis sejak 6.30 pagi.

Penduduk setempat, Siau Heng Fook, 45, menganggap situasi itu adalah yang terburuk sepanjang 20 tahun beliau tinggal di sana kerana sebelum ini, kejadian air pasang besar tidak pernah menyebabkan rumah dimasuki air.

“Semalam pun air pasang juga, air tinggi tapi tidak masuk ke dalam rumah. Hari ini pertama kali masuk. Nasib baik barang-barang berharga sudah diletakkan di tempat yang selamat,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mariam Halim, 37, berkata beliau mula menyedari air mulai tinggi sekitar 6.45 pagi, namun tidak lagi memasuki kawasan rumah sewanya.

“Sebelum ini air memang betul-betul bawah rumah, tiang-tiang bawah rumah pun masih nampak lagi. Dalam pukul 7 lebih macam tu, air sudah mulai melebihi paras buku lali,” katanya.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular