KOTA KINABALU: Memandangkan angka kes harian Covid-19 di Sabah mencecah 1 000, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menangguhkan semua acara yang dilaksanakan sepanjang bulan Februari sehingga Mac.
Datuk Bandar DBKK, Noorliza Awang Alip berkata, pihak berkuasa tempatan telah merancang pelbagai acara sempena sambutan ulang tahun Kota Kinabalu ke-22.
Antara aktiviti tersebut ialah pertandingan tarian, kejohanan bola sepak dan badminton, ekspedisi di Sungai Darau dan Gunung Tambuyukon, pameran orkid serta Scavenger Hunt.
Acara KK City Half Marathon, anjuran bersama Kinabalu Running Club turut terjejas yang dijadualkan pada 27 Februari ini. Acara ini hanya mengehadkan 200 pelari dengan bayaran RM227 seorang.
“Melihat kepada peningkatan drastik kes Covid-19, semua acara sempena ulang tahun Kota Kinabalu ke-22 akan ditangguhkan serta-merta sehingga keadaan bertambah baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, langkah ini diambil untuk mencegah penularan wabak Covid-19 dan mengutamakan kesejahteraan masyarakat.
Mengulas lanjut, jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Masidi Manjun berkata, setakat kelmarin kes di negeri ini meningkat kepada 1,205 daripada 909.
Daripada jumlah keseluruhan kes, terdapat 1,198 kes di bawah kategori 1 dan 2; tiga dalam kategori 3; satu dalam kategori 4; dan tiga dalam kategori 5.
Sandakan mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 230 kes, diikuti Kota Kinabalu dengan 213 kes, Penampang dan Tuaran masing-masing 113 kes. Tiga belas daerah juga mencatatkan dua digit dan hanya Kalabakan tiada kes direkodkan.
Peratusan kes baharu jangkitan sporadis adalah tinggi, iaitu sebanyak 527 kes atau 43.7 peratus. Statistik ini menunjukkan bahawa virus itu berada dalam komuniti dan dijangka membawa kepada kadar jangkitan yang lebih tinggi.