Papar: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar telah mengeluarkan kenyataan berkaitan tahanan yang melarikan diri seramai 14 orang dari Depot Imigresen (PTS) Kimanis, Papar, semalam.
YDH DSP Batholomwe Umpit, Ketua Polis Daerah Papar berkata, sehingga hari ini, seramai sembilan orang tahanan telah berjaya ditangkap semula, manakala lima tahanan lain masih bebas.
Lima suspek yang masih diburu adalah Nadzwin Usman, 24; Herman Bilau; 35; Husin Japar, 43; Pertama Lapanji, 40 ; dan Tuliang Maddalani, 35.
“Pencarian lima tahanan lain yang lolos masih diteruskan oleh pihak kami sehinggalah suspek berjaya ditangkap semula”.
Terdahulu, 14 orang tahanan dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) Depoh Tahanan Imigresen (DTI) yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 43 tahun terbabit telah berjaya melarikan diri melalui bumbung bangunan depoh di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, pasukan IPD Papar memohon kerjasama daripada orang ramai supaya membantu menyalurkan maklumat untuk menangkap lima tahanan yang masih bebas.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta berhubung dengan bilik gerakan IPD Papar di talian 088-916064 atau balai polis berhampiran untuk tindakan segera,” tambahnya.