PUTATAN: Datuk Shahelmey Yahya sebagai Ahli Parlimen Putatan kekal walaupun beliau digantung keahlian dalam UMNO selama enam tahun.
Namun begitu, Shahelmey belum menerima surat rasmi penggantungan daripada Majlis Tertinggi UMNO Pusat.
“Saya belum menerima surat rasmi daripada Majlis Tertinggi UMNO Pusat sebab pemilihan UMNO baru saja selesai pada 18 Mac lalu dan sekarang sudah ada jawatankuasa ataupun Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan nanti mereka akan bermesyuarat,” petikan Sinar Harian.
Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga ADUN Tanjung Keramat itu, masih menunggu pengesahan berkenaan penggantungan keahliannya.
“Saya masih ahli UMNO dan wakil rakyat atau ahli Parlimen Barisan Nasional (BN). Cuma sekiranya saya membuat keputusan untuk bertukar parti untuk kerusi Parlimen, ia akan ditentukan oleh Speaker Dewan Rakyat berkaitan Akta Anti Lompat,” katanya.
Setakat ini belum ada keputusan dan perancangan beliau bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. – Sinar Harian


