KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 1,515 kes baharu COVID-19 hari ini, menunjukkan penurunan berbanding kes yang direkodkan semalam.
Bagaimanapun, rakyat terus dinasihatkan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelakkan peningkatan kes harian COVID-19.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kota Kinabalu masih menjadi penyumbang utama kes-kes baharu di Sabah dengan mencatatkan sebanyak 479 kes hari ini.
“Ia diikuti oleh Tuaran yang menrekodkan 133 kes dan Penampang 103 kes. Daerah-daerah lain mencatatkan kes baharu dua angka kecuali Semporna yang merekodkan enam kes, Kunak empat kes, dan Kalabakan satu kes.
“Terdapat pertambahan kes baharu di 10 daerah dengan Tambunan merekodkan pertambahan sebanyak 25 kes. Penampang merekodkan penurunan kes yang tertinggi (-103), diikuti oleh Beaufort yang mencatatkan penurunan sebanyak 54 kes berbanding sebelumnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
“Bagaimanapun, penurunan ini seharusnya tidak melalaikan kita semua kerana kita tidak dapat menjangka peningkatan kes COVID-19 yang mungkin berlaku sekiranya kita lalai.
Susulan itu, Masidi berkata, penurunan kes ini hanya mampu bertahan sekiranya semua masih mematuhi SOP secara konsisten serta mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Sebanyak 1,498 daripada 1,515 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, lima kes dalam Kategori 3, tujuh kes dalam Kategori 4 manakala lima kes dalam Kategori 5,” katanya. – Utusan Borneo