KOTA BELUD: Sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal di Kampung Siasai, Kota Belud musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud menerima panggilan kecemasan jam 1.45 pagi sebelum bergegas ke lokasi sejauh empat kilometer.

Komander Operasi, PBK I Hasmaddy Agum berkata, kebakaran melibatkan rumah berkeluasan 60×80 kaki persegi itu terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dua pancutan sepanjang 200 kaki dengan sumber air dari tangki jentera dan sungai berdekatan.
“Api dapat dikawal sepenuhnya jam 2.37 pagi,” katanya.
Beliau berkata, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah unit EMRS terlibat dalam operasi tersebut dengan dibantu pihak polis (PDRM).
Katanya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan operasi ditamatkan sepenuhnya jam 3.54 pagi selepas kawasan disahkan selamat. — DEMI SABAH