KOTA KINABALU:Pemberian khas interim sebanyak RM900 juta kepada Sabah wajar dimanfaatkan untuk memperkukuh pembangunan infrastruktur asas serta sektor pendidikan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan jangka panjang negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Mustapha Sakmud, berkata komitmen Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri menyalurkan pemberian khas interim berjumlah RM1.5 bilion kepada Sabah membuktikan kesungguhan dalam memenuhi tuntutan berkaitan hak kewangan negeri.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM600 juta yang disalurkan sebelum ini telah dimanfaatkan kerajaan negeri menerusi pembinaan Rumah SMJ serta pelaksanaan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang menyediakan bantuan bulanan kepada golongan B40, khususnya mereka yang berdaftar dalam sistem e-Kasih bagi membasmi kemiskinan tegar.
“Untuk baki RM900 juta, kita berharap kerajaan negeri memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur asas yang membabitkan jalan raya, bekalan air dan elektrik kerana perkara ini adalah keperluan utama rakyat,” katanya.
Menurutnya, sebahagian daripada peruntukan itu juga perlu disalurkan kepada sektor pendidikan, termasuk penyediaan biasiswa kepada anak Sabah yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Katanya, pelaburan dalam pendidikan merupakan langkah strategik untuk melahirkan generasi pelapis yang mampu memimpin dan mengurus pembangunan Sabah pada masa depan.
“Ini adalah pelaburan jangka panjang yang akan membina bakat terbaik untuk negeri dan negara, sekali gus memastikan kesinambungan pembangunan Sabah dapat diteruskan,” katanya kepada wartawan Demi Sabah.


