KOTA MARUDU: Sabah perlu membelanjakan kira-kira RM301 juta untuk menangani masalah banjir di daerah Kota Marudu dan Pitas yang terjejas teruk.
Menurut Timbalan Ketua Menteri, Jeffrey Kitingan, dana itu diperlukan untuk penyelesaian jangka panjang yang merangkumi kerja pengorekan, pelebaran sungai, pembinaan benteng dan pemasangan pintu kawalan banjir di empat sungai.
Empat sungai terbabit ialah Sungai Bandau, Sungai Bongon, Sungai Tandek dan Sungai Rasak.
“Punca utama banjir ini adalah disebabkan oleh longkang yang tersumbat. Oleh itu, penyelesaian jangka pendek akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi projek ad-hoc untuk membersihkan longkang tersumbat supaya aliran air lebih cekap,” katanya selepas menghadiri taklimat JPS di Kota Marudu.
Mengulas lanjut, beliau berkata masalahnya tidak terhad kepada penyelesaian infrastruktur sahaja. Kini kita mengalami perubahan iklim global yang mengakibatkan taburan hujan yang luar biasa, termasuk di kawasan yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini.
“Pihaknya akan melakukan siasatan menyeluruh terhadap keadaan dan perilaku sungai bukan sahaja di Kota Marudu, tetapi di semua daerah di Sabah berkaitan perubahan iklim,” tambahnya lagi.
Hal tersebut amat penting bagi membolehkan pihaknya merancang sesuatu untuk mengurangkan kesannya.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa bersiap sedia untuk keluar jika keadaan banjir semakin memburuk dan berhenti membina rumah berdekatan sungai kerana ia bukan sahaja berbahaya, malahan menyalahi undang-undang.
“Undang-undang rizab Riparian harus dihormati dan bukannya diabaikan,” tegasnya.
Setakat ini, lebih 2 000 orang telah dipindahkan di Kota Marudu berikutan banjir sejak malam tahun baru.