KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan terus mengambil pendekatan seimbang dalam melaksanakan dasar Borneonisasi dan integrasi nasional bagi penempatan penjawat awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak, termasuk dalam sektor pendidikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Mustapha Sakmud berkata, Kementerian Pendidikan telah memberi keutamaan untuk menempatkan guru-guru yang berasal dari Sabah dan Sarawak di negeri kelahiran masing-masing.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Lary Anak Asap pada persidangan Dewan Negara.
Menurutnya, dalam masa sama kerajaan turut mengambil kira kepentingan integrasi nasional apabila ramai anak Sabah dan Sarawak kini berkhidmat di Semenanjung dalam pelbagai jawatan Perkhidmatan Awam Persekutuan.
“Sehingga kini, seramai 37,575 anak Sabah dan Sarawak ditempatkan di Semenanjung. Daripada jumlah itu, 120 berada dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi, 15,513 dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional, manakala 21,942 lagi dalam Kumpulan Pelaksana.
“Keadaan ini menunjukkan anak-anak Borneo bukan sahaja diberi peluang berkhidmat di negeri asal, malah turut menyumbang kepakaran di peringkat nasional,” katanya.
Mustapha berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersama kementerian berkaitan turut memberi taklimat khusus bagi memastikan dasar Borneonisasi dilaksanakan secara menyeluruh.
Katanya, semua kementerian dan jabatan Persekutuan diminta mengutamakan anak negeri Sabah dan Sarawak dalam urusan penempatan, selaras dengan komitmen kerajaan memperkukuh pelaksanaan dasar Borneonisasi tanpa menjejaskan agenda integrasi nasional.


