KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Jaffari Waliam menyatakan komitmen penuh jentera bahagian itu untuk memastikan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), selaras dengan seruan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang mahu setiap jentera bergerak dalam satu saf kukuh.
Jaffari yang juga Timbalan Ketua Bahagian PGRS Gum Gum, berkata ucapan Hajiji memberi isyarat jelas bahawa GRS kini berada pada landasan paling kukuh untuk mempertahankan mandat rakyat.

“Seruan Ketua Menteri supaya semua parti komponen GRS bergerak dalam semangat setiakawan amat tepat pada masanya.
“Kami di Gum Gum menyahut cabaran itu untuk terus memperkukuh gerak kerja akar umbi dan memastikan GRS menang besar pada PRN akan datang,” katanya yang hadir bersama seluruh jentera Bahagian pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Menurut Jaffari, kejayaan pentadbiran Hajiji melalui dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) terbukti membawa hasil nyata kepada rakyat dan membuktikan kecekapan kerajaan GRS mentadbir negeri, bukan sekadar menabur janji politik.

“Rakyat sudah boleh menilai. Kita lihat sendiri pelbagai projek pembangunan, air, jalan, tenaga dan peluang pekerjaan yang sedang berjalan. Ini bukti kerja, bukan janji kosong seperti yang selalu dimainkan pihak pembangkang,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa PGRS Gum Gum akan terus berdiri teguh di belakang kepimpinan Hajiji dan memastikan semangat kesetiaan serta perpaduan yang disebut dalam ucapan perasmian itu diterjemahkan dalam bentuk tindakan di peringkat akar umbi.
“Kami bukan sahaja hadir memberi sokongan moral, tetapi juga memastikan jentera kami bersedia sepenuhnya. Kemenangan GRS bukan hanya tanggungjawab pucuk pimpinan, tetapi tugas bersama semua lapisan jentera di seluruh Sabah,” ujarnya.
Jaffari berkata, bahagian Gum Gum kini menumpukan perhatian kepada program pengukuhan komuniti, penglibatan belia dan kebajikan rakyat bagi memastikan mesej perjuangan GRS terus sampai ke peringkat kampung.
Majlis pelancaran itu turut disertai enam parti komponen GRS — Gagasan Rakyat, PBS, USNO, LDP, PHRS dan PCS — yang kekal bersama gabungan terbesar parti tempatan Sabah itu. — DEMI SABAH


