KOTA KINABALU: Pembentangan Belanjawan khususnya peruntukan sebanyak RM5.1 bilion untuk Sabah boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, peruntukan itu khusus bagi membina dan menaik taraf infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kemudahan kesihatan dan pendidikan.
“Melalui peruntukan ini kita berharap pembangunan asas atau infrastruktur akan lebih dipertingkatkan dan dipercepatkan.
“Jaminan Kerajaan Persekutuan menyambung semula pembinaan lebuh raya Pan Borneo Sabah amatlah dialu-alukan dan saya percaya akan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi di Sabah secara mapan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata, pihaknya juga menyambut baik penyambungan Projek Pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay di bawah SDC kerana ianya akan lebih meyakinkan pelabur-pelabur asing untuk melabur di Sabah.
Katanya, perkara itu merupakan berita baik bagi merangsang industri dan perdagangan di negeri ini.
“Peruntukan lain yang diterima oleh Sabah seperti menaikkan peruntukan daripada RM150 juta kepada RM200 juta untuk melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming termasuk meluaskan pelaksanaannya ke kawasan baharu antaranya di Pulau Sakar di Lahad Datu amat diterima baik.
“Insentif bagi membantu pekebun kecil getah, (RM1.7 bilion) subsidi dan insentif untuk nelayan, subsidi harga dan baja padi termasuk penanam padi bukit di Nabawan juga amat dialu-alukan,” katanya.
Menurutnya, peruntukan untuk program Native Customary Rights di Sabah juga disambut baik kerana ia sudah pasti akan dapat menyelesaikan masalah berkaitan dengan Tanah Adat termasuk pemberian Geran Tanah melalui program PANTAS.
Katanya, dengan peruntukan penaiktarafan rangkaian asas telekomunikasi untuk meluaskan capaian jaringan internet di luar bandar. Ia sudah pasti dinanti-nantikan oleh rakyat di kawasan pedalaman yang masih tidak mendapat kemudahan ini.
“Di Sabah masih terdapat banyak sekolah daif yang bangunan dan infrastrukturnya perlu dinaik taraf bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selesa.
“Oleh itu peruntukan tambahan sebanyak RM725 juta ringgit bagi menaik taraf bangunan serta infrastruktur sekolah-sekolah daif amat dialu-alukan dan diharap ia dapat dilaksanakan pada kadar segera,” katanya.
Beliau turut menyambut baik peruntukan sebanyak RM16 bilion dan RM17 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri akan turut dimanfaat untuk meningkatkan tahap keselamatan di negeri Sabah.
Katanya, dengan peruntukan berkenaan diharapkan keselamatan negeri Sabah akan terus terjamin khususnya menangani masalah kebanjiran pendatang tanpa izin (PTI) dan penyeludupan barang-barang dari negara jiran termasuklah menutup pintu lorong-lorong tikus.
“Jaminan keselamatan yang mapan akan memberi kepercayaan yang tinggi kepada pelabur-pelabur asing dan domestik untuk pelabur melabur di negeri ini.
“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan peruntukan yang diberikan dalam Belanjawan 2021.
“Harapan saya adalah belanjawan kali ini dapat menggerakkan pembangunan di kawasan luar bandar dan dapat merangsang pertumbuhan industri-industri Sabah termasuk sektor pelancongan yang terjejas akibat COVID-19,” katanya.
-utusanborneoonline


