spot_img
HomePolitikPerkukuh jentera hadapi PRN Sabah – Jaffari Waliam

Perkukuh jentera hadapi PRN Sabah – Jaffari Waliam

GUM GUM: Timbalan Ketua Bahagian Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) Gum-Gum, Datuk Jaffari Waliam, menyeru seluruh barisan jentera parti agar terus memperkukuhkan kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal menjadi medan penting mempertahankan kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat khas kepada barisan jentera PGRS Gum-Gum dalam satu pertemuan yang diadakan baru-baru ini, yang turut dihadiri kepimpinan sayap parti serta penyelaras jentera akar umbi kawasan berkenaan.

Jaffari ketika menyampaikan amanat kepada jentera PGRS Gum-Gum.

“Kita mesti bersedia dari sekarang, bukan sahaja dari segi kekuatan fizikal dan logistik, tetapi juga kesatuan hati dan semangat juang.

“PRN akan menjadi ujian kepada keutuhan kita dalam membentuk kerajaan yang stabil,” katanya.

Jaffari turut menekankan beberapa aspek utama dalam memperkukuhkan jentera parti, termasuk penyelarasan komunikasi di peringkat akar umbi, pengukuhan struktur jawatankuasa pusat daerah mengundi (PDM) serta pemantapan strategi media dan penerangan agar mesej perjuangan PGRS dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan mendekati pengundi muda, memperluas capaian di kawasan luar bandar, serta memastikan semua petugas parti memahami peranan masing-masing dalam gerak kerja pilihan raya.

“Kita mahu setiap jentera bergerak dengan disiplin, teratur dan berpaksikan semangat perpaduan.

“Jangan tunggu arahan baru bergerak; sebaliknya jadilah penggerak di lapangan yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat,” ujarnya.

Antara jentera PGRS Gum Gum yang hadir mendengar taklimat berkenaan.

Jaffari turut merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli dan penyokong yang hadir serta terus menunjukkan komitmen tinggi terhadap perjuangan parti di kawasan Gum-Gum.

“Terima kasih kepada semua yang hadir dan terus setia bersama perjuangan ini.

“Saya yakin, dengan semangat dan kerjasama berpasukan, kita mampu memastikan PGRS terus diterima rakyat dan mempertahankan kerajaan Sabah yang stabil dan berwibawa,” katanya. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular