spot_img
HomeSemasaPegawai JKM diarah turun padang ke 8 negeri banjir

Pegawai JKM diarah turun padang ke 8 negeri banjir

BANTING: Seramai 7,000 Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diarahkan turun padang ke 8 buah negeri untuk menyantuni mangsa yang terjejas akibat banjir.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, antara negeri yang terjejas dengan bencana banjir adalah Terengganu, Pahang, Kelantan, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Kakitangan Kebajikan Masyarakat digerakkan ke lokasi terbabit sejak dari hari pertama berlakunya banjir. Selain menghulurkan bantuan, khidmat kaunseling turut diberikan kepada mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.

Lawatan ke PPS di Sekolah Rendah Agama Bukit Changgang hari ini, yang turut disertai pegawai daripada enam agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut dijalankan.

“Lawatan ke PPS bertujuan untuk membantu pihak mereka mengenal pasti jenis keperluan serta permasalahan yang dihadapi mangsa terbabit,” tambahnya lagi.

Daripada tinjauan yang dilakukan, beliau berpuas hati dengan pengurusan serta sumbangan yang diberikan kepada mangsa banjir. Walaubagaimanapun, sumbangan pelbagai pihak masih terbuka bagi memastikan tiada golongan tercicir.

“Saya lihat dari aspek sumbangan setakat ini sangat mencukupi, malahan KPWKM juga akan membantu menangani masalah yang berkaitan dengan pembersihan kediaman mereka selepas ini,” katanya.

Daripada rekod yang dicatatkan, lebih 500 orang daripada 313 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Bukit Changgang sebagai pusat perlindungan sementara.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular