KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia perlu memastikan bekalan ubat-ubatan lengkap dan mencukupi untuk semua hospital di Sabah.
Mantan Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata,
terdapat pesakit mengadu bahawa tidak memperoleh ubat secukupnya dari farmasi hospital kerajaan. Keadaan ini membimbangkan beliau, sesetengah jenis ubatan tidak mempunyai bekalan mencukupi.
“Sejak awal tahun, para pesakit ini, termasuk pesakit jantung tidak mendapat bekalan ubat seperti yang diperlukan.
“Berdasarkan maklum balas, akibat bekalan ubat yang tidak mencukupi, mereka terpaksa kembali dalam tempoh dua minggu ke hospital.
“Situasi ini menyebabkan kesusahan kepada para pesakit khususnya golongan warga emas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Christina yang juga Ahli Parlimen Tawau berkata, masalah ini tidak sepatutnya timbul kecuali terdapat masalah pada pihak pembekal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api itu turut berkata, selain memerangi pandemik COVID-19, mengatasi banjir dan rasuah, kerajaan hari ini seharusnya mengutamakan kebajikan kesihatan rakyat dengan memastikan bekalan ubat-ubatan mencukupi di semua hospital kerajaan.
Christina memperjelaskan dalam Bajet 2022, kerajaan telah memperuntukkan RM32.4 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Dilaporkan, selepas peruntukkan untuk Kementerian Pendidikan, ini merupakan bajet kedua terbesar diumumkan.
Christina meminta supaya menunaikan tanggungjawab sewajarnya, dengan bajet berkenaan kerana ia memberikan gambaran bahawa keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan kesihatan rakyat – Utusan Borneo