spot_img
HomeSemasaOps SAR lelaki Hilang di Hutan Kampung Bukit Besi

Ops SAR lelaki Hilang di Hutan Kampung Bukit Besi

BELURAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan bagi mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang di hutan berhampiran Kampung Bukit Besi, di sini sejak 18 Ogos lalu.

Mangsa dikenali sebagai Jusli Kiple, 48, dilaporkan keluar ke kebunnya kira-kira jam 6 pagi pada hari kejadian yang terletak 500 meter dari rumah, namun tidak pulang sehingga kini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran jam 8.41 pagi, 20 Ogos.

“Empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran digerakkan ke lokasi sejauh 50 kilometer dengan sebuah jentera VIGO.

“Operasi turut disertai tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta lima penduduk kampung,” katanya.

Menurutnya, 19 Ogos, usaha awal mencari mangsa yang dijalankan oleh ketua kampung bersama penduduk antara jam 10 pagi hingga 3 petang gagal menemui sebarang petunjuk.

Katanya, pada hari kedua operasi SAR 21 Ogos, pencarian dimulakan jam 10 pagi di sekitar kawasan kebun milik mangsa, namun sehingga operasi ditangguhkan pada jam 5 petang, mangsa masih belum ditemui.

Operasi dijangka bersambung semula esok pagi dengan kawasan pencarian akan diperluaskan. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular